Penerangan 29 jenis kitab hadis

Kongsi Nota lama tentang Ilmu Hadis.

Berikut adalah 29 jenis kitab hadis:

1. Jami’/ jawami’
2. Sunan/ ahkam
3. Mathani/ musnad
4. Ma’ajim/ mu’jam
5. Masyikhat
6. Ajza’/ rasail
7. Arbainat
8. Afrad dan Gharaaib
9. Mustadrak
10. Mustakhraj
11. ’Ilal
12. Atraf
13. Tarajim
14. Ta’aliq
15. Taghrib wa tarhib
16. Mursalsalat
17. Tsulasiyyat
18. Al-amali
19. Zawaid
20. Al-Mukhtasarat
21. Takharij
22. Syarhul atsar
23. Asbab nuzul hadis
24. At-tartib
25. At-Ta’liq
26. Al-Mawdhuat
27. Al-ma’thurat
28. An-Nasikh wal Mansukh
29. Mutasyabih/ Musykil hadis 

KETERANGAN TENTANG KITAB-KITAB HADIS

1) JAMI' ATAU JAWAMI'

Untuk dipanggil sesebuah kitab hadis sebagai Jami’ sebuah kitab hendaklah mengandungi sekurang-kurangnya lapan bidang iaitu aqidah, ahkam, riqaq, adab, tafsir, tarikh dan sirah, fitan dan manaqib.

Antara kitab-kitab hadis yang termasuk dalam kategori ini ialah Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Jami’ al-Tirmizi, Misykat al-Masabih, Jami Suyfan al-Thauri, Jami Abdul Razzaq bin Hammam al-Sanani, Jami’ al-Darimi, dan lain-lain.

Tentang kitab Sahih Muslim terdapat pertikaian di mana jumhur ulama mengatakan ianya termasuk kitab Jami’ namun sebahagian yang lain menyatakan tidak kerana hadis-hadis tafsir di dalam kitabnya terlalu sedikit.

Nota: Di kalangan ulama ada yang menyusun hadis-hadis dalam bidang-bidang ini secara berasingan.

Antaranya ialah:

a. Aqaid (akidah): Contohnya: Kitab al-Tauhid karangan Abu Bakar Ibn Abi Khuzaimah, Kitab al-Asma wa al-Sifat oleh al-Baihaqi

b. Ahkam: Kitab hadis hukum yang disusun seperti dalam kitab-kitab fiqh seperti Bulugh maram dan Umdatul ahkam.

c. Riqaq (raqaaiq): dinamakan juga sebagai Ilmu al-Suluk wa al-Zuhd iaitu menyebut tentang peringatan di hari akhirat dan azab kubur yang akan melembutkan hati sesiapa yang mendengarnya dan menjadikannya seorang yang zuhud. Contohnya: Kitab Zuhud oleh Abdullah Ibn Mubarak, Imam Ahmad

d. Adab: Adab sopan, adab tidur, adab solat, adab makan dan sebagainya. Contohnya kitab al-Adab al-Mufrad oleh al-Bukhari dan Kitab Syamail oleh Tirmizi

e. Tafsir: Hadis-hadis yang mentafsirkan al-Quran.

Contohnya kitab Tafsir ibn Mardawaih, ibn Jarir at-Tabari, Tafsir al-Dailami dan Tafsir Jalalain

f. Tarikh (Sejarah) iannya terbahagi kepada dua jenis:

i- Sejarah tentang kejadian alam (bada’ al-khalq) seperti kejadian langit dan bumi,syurga,neraka,jin,syaitan, malaikat dan sebagainya

ii- Sejarah tentang kehidupan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat seperti Sirah Ibn Hisyam, Sirah Mulla Umar dan sebagainya.

g. Fitan iaitu fitnah-fitnah yang muncul di akhir zaman bermula selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Contohnya, kitab Muin bin Hammad (guru al-Bukhari) tentang Dajjal, turunnya nabi Isa a.s., kemunculan Imam Mahdi, dan sebagainya. Beliau telah mencampuradukkan antara yang sahih dan tidak sahih.

h. Manaqib (tentang kelebihan seseorang seperti Abu Bakar, Umar, Uthman,dan Ali, tabi’in, ahlul bait, isteri-isteri Rasulullah s.a.w., Nawasib dan sebagainya) contohnya, al-Riyadh al-Nadhirah Fi Manaqib al-Asyarah oleh Muhib al-Tabari, Zakhair al-Uqba Fi Manaqib Zawi al-Qurba dan lain-lain. (i)

2) AL-SUNAN DAN AL-AHKAM 

Ianya disusun mengikut tertib fiqh yang bermula dengan bab thaharah, sembahyang dan seterusnya. Walaubagaimanapun di dalam sunan sendiri ianya tidak hanya memuatkan tentang hukum-hakam tetapi ada juga perkara-perkara lain yang dibincangkan.

Contoh kitab-kitab yang termasuk dalam kategori ini ialah: Sunan al-Nasai’e, Jami` al-Tarmizi, Sunan Ibn Majah, Sunan Abi Dawud, Sunan al-Daruqutni, Sunan Abi Ali bin al-Sakan dan lain-lain.

3) MASANID DAN MUSNAD

Penulisan Musnad bermaksud menyusun hadis-hadis mengikut nama-nama sahabat.

Antara cara penyusunan musnad:

a. memuatkan hadis-hadis tentang 10 orang sahabat yang dijamin masuk syurga, atau tentang khalifah yang empat.

b. mengikut siapa yang lebih dahulu yang memeluk Islam.

c. dengan melihat siapakah ahli Badar / Hudaibiah dahulu.

d. dengan melihat siapakah yang memeluk Islam terlebih dahulu ketika Pembukaan Mekah.

e. dengan melihat lelaki dahulu perlu diutamakan. Tetapi dari kalangan wanita pula isteri-isteri nabi diutamakan terlebih dahulu.

f. atau dengan melihat jenis qabilah (qabilah bani Hasyim didahulukan).

Contohnya, Imam Ahmad yang menulis musnad telah mendahulukan hadis-hadis Abu Bakar daripada hadis-hadis sahabat yang lain.

Di dalam musnad biasanya taraf hadis tidak diambil kira. Ia cuma mengumpulkan sebanyak mungkin hadis-hadis yang menerangkan tentang sesuatu perkara. Namun begitu musnad yang paling sahih adalah Musnad Ahmad kerana beliau telah menyaring hadis-hadisnya. Kebanyakan ulama salaf menulis hadis-hadis dalam bentuk musnad (ii).

4- MA'AJIM DAN MU'JAM 

Mu’jam pula disusun mengikut tertib huruf ejaan, atau mengikut 
susunan nama guru-guru mereka. Nama guru-guru mereka pula disusun samada
 mengikut ejaan nama atau kelebihan mereka.
Mu’jam juga hanya mengumpulkan hadis-hadis nabi s.a.w. tanpa melihat taraf hadis-hadisnya.

Contoh kitab-kitab mu’jam ialah Mu’jam Tabrani, Mu’jam kabir, Mu’jam 
as-Sayuti, dan Mu’jam as-Saghrir, Mu’jam Abi Bakr, ibn Mubarak, dan 
sebagainya.

Kitab rijal yang mengumpulkan orang-orang yang tersebut dalam 
meriwayatkan hadis-hadis nabi s.a.w. mengikut ejaan bersama dengan 
kuniyyahnya. Ini semua adalah untuk memastikan kesahihan sesebuah hadis.

5- MASYIKHAT 
 
Di dalam penulisan masyikhat, hadis-hadis dikumpul dari seorang 
syeikh sama ada dia mengumpulkan sendiri hadis tersebut atau orang lain 
yang mengumpulkannya. Contohnya, Masyikhat Ibn al-Bukhari, yang dibuat 
tambahan oleh Hafiz al-Mizzi, Masyikhah Ibn Syadam al-Kubra dan 
al-Sughra, dan dibuat tambahan oleh al-Iraqi.

Ali bin Anjab al-Baghdadi mempunyai 20 jilid kitab masyikhat.
Antara kitab Masyikhat yang disebutkan juga ma’ajim seperti Mu’jam 
al-Sayuti, Abu Bakar Ibn Mubarak. Kitab yang ada sanad pula seperti 
Musnad al-Firdaus oleh al-Dailami.

Istilah lain bagi mu’jam dengan makna kamus dan bukannya bermaksud 
penulisan hadis. Ada juga yang menyebut mu’jam itu sebagai kamus 
geografi yang menyebut tentang geografi sesuatu tempat seperti Mujam 
al-Buldan oleh Yaqut al-Hamawi. Ada juga yang mengumpulkan tentang 
biografi seseorang tokoh di dalam kitab mu’jamnya seperti al-Mujam fi 
Athar Muluk al-Ajam.

6- AJZA' /RASAIL 
 
Hadis-hadis yang dikumpulkan berhubung dengan sesuatu perkara atau 
tajuk contohnya Raf al-Yadaian oleh al-Bukhari. Dalam kitab ini beliau 
mengemukakan hadis-hadis tentang mengangkat tangan tanpa membahaskan 
kedudukan hadis-hadis tersebut samada mansukh, syaz atau mujmal dan 
sebagainya.

Contoh-contoh lain seperti Juz al-Niyyah oleh Ibn Abi al-Dunya, Juz 
al-Qira’ah Khalf al-Imam oleh al-Baihaqi (iv) Juz Fadhail Ahl al-Bait 
oleh Abu al-Husin al-Bazzar, Juz al-Munziri Fi Man Ghufira Lah Ma 
Taqaddama Min Zanbih, Juz Asma al-Mudallisin (v) dan Juz Amal al-Yaum 
wa al-Lail.

Tujuan kitab Rasail ini ditulis adalah:
a. Untuk membuktikan sesuatu perkara itu sabit daripada Rasulullah 
s.a.w dengan mengumpulkan pelbagai riwayat tanpa mengira kedudukan 
hadis-hadis tersebut.
b. Supaya lebih mudah untuk membuat kajian terhadap sesuatu perkara.

7- ARBAINAT

Kitab-kitab hadis yang mengumpulkan hadis sebanyak 40 buah hadis. 
Usaha ini dilakukan berpandukan hadis riwayat dari Abu al-Darda’ yang 
disebut oleh al-Baihaqi: “Sesiapa yang hafal untuk ummatku 40 hadis 
berhubung urusan agamanya, Allah akan bangkitkannya nanti sebagai 
seorang faqih dan aku (Muhammad) pada hari kiamat nanti akan menjadi 
syafaat kepadanya”. Imam Ahmad berkata, hadis ini masyhur tetapi tidak 
sabit.

Hadis-hadis dikumpul dalam bentuk ini juga disebabkan ianya termasuk dalam bab fadhail seperti pendapat al-Nawawi.
Abdullah bin Mubarak adalah orang pertama yang menulis kitab arbainat ini.

Ibn Hajar pula telah menulis dua kitab Arbain. Kitab Arba`inat yang 
paling mashyur ialah karangan al-Nawawi. Antara syarahnya pula ialah 
Syarah Ibn Rajab, Syarah Mulla Ali al-Qari dan lain-lain.

Ada juga ulama’ yang mengumpul Hadis 40 berkenaan tauhid, mensabitkan
 sifat-sifat Allah, hadis hukum, hadis-hadis yang sanadnya semua sahih, 
mengumpulkan hadis-hadis yang mempunya lafaz panjang, mengumpul 
hadis-hadis yang mengambil hadis-hadis tersebut dari 40 tokoh ulama’ 
atau 40 orang sahabat. Ada juga hadis-hadis dikumpulkan mengikut 
keturunan yang sama, dan ada juga yang mengumpul hadis yang sanadnya 
hanya ‘daripada Malik daripada Nafi daripada Ibn Umar’ sahaja.
Selain itu ada hadis-hadis dikumpul tentang jihad dan hadis-hadis 
yang mengatakan ketika berdoa tangannya diangkat. Ibn Hajar pula 
mengumpulkan hadis-hadis yang diambil dari Sahih Muslim yang mana 
hadis-hadisnya lebih tinggi sanadnya dari Bukhari.

8- AFRAD DAN GHARAAIB 
 
Penulisan tentang hadis-hadis yang hanya terdapat pada seorang syaikh
tetapi tidak ada pada syaikh yang lain. Tegasnya hadis-hadis yang 
mempunyai seorang perawi sahaja pada setiap generasi sama ada fard nisbi
atau fard mutlak (seorang sahaja yang meriwayatkannya dari sahabat).

9- MUSTADRAK  

Iaitu kitab hadis yang mengumpulkan hadis-hadis yang tidak disebutkan
 oleh seseorang pengarang sebelumnya secara sengaja atau tidak. 
Contohnya kitab Mustadarak al-Hakim di mana hadis-hadis tersebut 
dikumpul menepati syarat-syarat yang digunakan oleh Bukhari dan Muslim.
Kitab ini tidak boleh dibaca berasingan tetapi mesti bersama dengan takhrijnya oleh al-Zahabi.

Antara contoh kitab-kitab mustadrak yang lain adalah seperti Mustadrak Hafiz Ahmad al-Maliki.

Kitab Mustadrak boleh dikatakan juga sebagai kitab Masyikhat kerana 
kitab Mustadrak adalah salah satu dari tiga juzuk kitab Masyikhat.
Tujuan penyusunan kitab Mustadarak ialah supaya kita tidak menganggap
 hadis sahih hanyalah apa yang terkandung di dalam Sahih al-Bukhari dan 
Sahih Muslim sahaja.

10- MUSTAKHRAJ  

Mengumpulkan hadis-hadis yang sama dalam satu kitab tetapi sanadnya 
berlainan di mana sanadnya bertemu dengan syeikh kitab asalnya (gurunya)
seperti hadis tentang niat.

Contoh kitab Mustakhraj ialah Mustakhraj Abu ‘Awanah Ala Sahih Muslim.
Ada juga yang hanya membawa hadis-hadis tersebut tetapi tidak membawa
 sanadnya. Beliau cuma menyebut kitab-kitab yang menyebut tentang 
perawinya.

Tujuannya adalah supaya hadis-hadis tersebut akan lebih meyakinkan 
bila terdapat hadis yang lafaznya hampir sama antara satu sama lain.

Contoh lain ialah Mustakhraj ala Sahihain:
a) Mustakhraj atas kitab Sahih Muslim oleh Abu Jafar bin Hamdan, Abu
 Bakar al-Jauzaqi, Abi Imran Musa bin Abbas, Abi Said bin Utsman dan 
sebagainya.
b) Mustakhraj ke atas Sahih Bukhari sahaja seperti karangan al-Ismaili, Abu Abdillah dan lain-lain.
c) Mustakhraj ke atas Sahih Bukhari dan Sahih Muslim pula seperti 
Mustakhraj oleh Abi Abdillah, Abi Muhammad al-Khallan, Abi Bakar 
al-Siraji, dan sebagainya.

Ada juga Mustakhraj atas Sunan al-Tirmizi oleh Abi Ali al-Tusi, 
Mustakhraj atas Abu Daud, Kitab al-Tauhid karangan Ibn Khuzaimah. 
Bagaimanapun mereka tidak beriltizam tentang kesahihannya.
Nota: Ada juga ulama’ yang mentakrifkan Mustakhraj yang mana sanadnya bertemu dengan tabiin tetapi ada iktilaf mengenainya.

Faedah penyusunan kitab Mustakhraj:
a. Ketinggian sanad – ia ditulis untuk menunjukkan sanadnya lebih 
tinggi dari kitab asal seperti Muslim. Contoh Abu `Awanah dalam kitabnya
 Mustakhraj Abu ‘Awanah yang mengambil sanad hadis tersebut di peringkat
 di atas lagi daripada guru Muslim.
b. Menunjukkan kekuatan hadis itu. Contohnya jika hadis itu hanya 
disebutkan di dalam Sunan Abu Daud sahaja, tetapi tidak diriwayatkan 
oleh orang lain. Sekiranya hadis tersebut terdapat dalam Sunan Abu Daud 
itu pula bertentangan dengan hadis yang lain, maka ia perlukan penguat. 
Dengan adanya kitab Mustakhraj, kita dapat mencari penguat-penguatnya 
yang lain supaya proses pentarjihan dapat dilakukan dengan baik. Oleh 
itu, kitab Mustakhraj penting sebagai penguat apabila riwayatnya 
bertentangan dengan riwayat yang lebih kuat.
c. Menerangkan sanad yang tidak jelas. Contohnya pada peringkat 
permulaan seseorang perawi itu masih kuat ingatannya tetapi semasa 
menghampiri akhir hayatnya dia menjadi seorang yang mukhtalit (nyanyuk).
 Dengan itu dapat dipastikan bilakah sesebuah hadis itu diambil samada 
ketika ingatannya masih kuat atau selepas menjadi nyanyuk. Contohnya 
perawi Bukhari dan Muslim, Hisyam bin Urwah bin Zubair yang nyanyuk 
selepas berhijrah ke Iraq.
d. Kitab asal riwayat dari mudallis yang dikira dhaif sekiranya 
menggunakan lafaz ‘an. tetapi dengan adanya Mustakhraj, adanya sanad 
lain yang mengunakan lafaz yang menunjukkan dengan jelas yang dia 
mendengar hadis.
e. Riwayat secara mubham- iaitu perawi yang tidak dijelaskan namanya 
seperti ‘haddatsana rajulun min ahli bait’. Tidak diketahui siapa 
‘rajulun’ itu? Nama perawi mubham akan diketahui apabila memeriksa kitab
 Mustakhraj.
f. Mengetahui siapakah orang yang disebut namanya secara muhmal tanpa
 kuniahnya-contohnya apabila disebut Muhammad; Muhammad yang mana?
g. Isnad asal ada illah yang sukar untuk diselesaikan tanpa 
berpandukan kepada riwayat yang bebas illah. Contohnya perawi tersebut 
dituduh sebagai Syiah, Irja’ (vi) dan sebagainya.

11- 'LLAL 
Sesebuah kitab yang menyebut tentang “penyakit” pada sesuatu riwayat 
samada pada matannya atau sanadnya. Contohnya kitab alIlal karangan Ibn
 al-Jawzi dan Muhammad Abu Hatim al-Razi yang mengikut susunan bab-bab 
fiqh.

12- ATRAF

 Kitab yang mana menyebut sebahagian dari hadis sama ada menyebut 
permulaannya sahaja, di tengah-tengahnya, atau diakhir sahaja. Hal ini 
banyak dilakukan terutama oleh Bukhari untuk mengeluarkan sesuatu hukum 
dari sesebuah hadis.
Ada juga Atraf Sunan Abi Daud, Jami’ al-Tirmizi dan Sunan al-Nasa’i dan sebagainya.
Ibn Hajar al-Asqalani pula ada mengarang kitab yang berjudul Ithaf 
al-Mahara Bi Atraf al-Asyarah yang mengumpulkan 10 buah kitab hadis di 
dalamnya beserta sanadnya iaitu al-Muwatto’, Musnad Ahmad, Musnad 
As-Syafie’, Sahih Ibn Khuzaimah, Mustadrak al-Hakim, Sunan al-Daruqutni,
 Jami’ al-Darimi, Muntaqa Ibn al-Jarud, Sahih Ibn Hibban dan Mustakhraj 
Abi Awanah.

13 – TARAJIM

Penulisan yang mengumpulkan hadis-hadis dari sanad-sanad yang tertentu seperti “Malik daripada Nafi daripada Ibn Umar.”

14- TA'ALIQ

Penulisan yang mengumpulkan hadis-hadis dari sesebuah kitab tanpa 
menyebutkan sanad seperti yang disebut oleh Bukhari secara ta’liq. (v)

15- TAGHRIB WA TARHIB

Hadis-hadis tentang galakan dan ancaman terhadap sesuatu perkara. 
Contohnya, Targhib al-Solat karangan al-Baihaqi, al-Targhib wa al-Rahib 
oleh Ibn al-Munzir. Termasuk dalam kategori ini ialah kelebihan amalan 
khusus seperti Fadhail al-Jihad Ibn Syaddad al-Musuli dan Fadhail 
al-Amal oleh Ibn Zanjuwaih

16- MUSALSALAT 
 
Hadis yang mengumpulkan isnad yang disebut secara berturut-turut 
seperti semuanya dengan lafaz sami’tu, sami’tu hinggalah akhir sanad. 
Ada juga riwayat yang mana perawi meriwayatkan hadis-hadis dengan 
memegang janggut kerana semasa Nabi s.a.w. meriwayatkannya, baginda 
memegang janggutnya.

Musalsalat ini termasuk dari sudut Qauli (ucapan) atau Fi’li (perbuatan) Nabi s.a.w.
Contohnya seseorang perawi itu akan memberi buah tamar dahulu kepada 
seseorang itu sebelum dia meriwayatkannya kepada orang tersebut 
sepertimana Nabi s.a.w. meriwayatkan hadis tersebut pada asalnya.

17-THULATHIYYAT

Hadis yang mempunyai jumlah perawinya hanya tiga orang sahaja 
antaranya dan Nabi s.a.w. (sanadnya pendek). Contohnya seperti 
thulathiyyat Bukhari, Muslim, dan sebagainya. Ada juga hadis berbentuk 
ruba’iyat (empat orang perawi) dan thunaiiyat (dua orang perawi)

18- AL-AMALI 
 
Kitab yang ditulis oleh seseorang anak murid daripada syaikh yang 
meLAPORKAN hadis. Contohnya dia mengatakan kitab ini adalah yang 
dibaca oleh syaikh dan dicatat oleh muridnya. Imlak ini berdasarkan 
kepada tulisan, kitab atau ingatan.

19- ZAWAID 
 
Hadis yang dikumpul sebagai tambahan dari kitab asal tetapi 
syarat-syarat pengumpulannya sama dengan kitab asal. Contohnya kitab 
Zawa’id Ibn Hibban Ala al-Sahihain oleh Ibn al-Mughalta’i, Zawa’id Sunan
 al-Baihaqi al-Kubra, Zawa’id Imam Ahmad dan Zawa’id Abi Ya`la. 
Walaubagaimanapun, kitab Zawaid tidak setaraf dengan kitab asalnya.

20- AL-MUKHTASARAT 
 
Penulisan yang berbentuk saringan dan ringkasan kepada sesebuah kitab.

21- TAKHRIJ

Kitab yang membahaskan hadis-hadis yang hanya disebutkan dalam 
sesebuah kitab di mana hadis-hadis tersebut tidak dihukum oleh pengarang
 asalnya seperti yang dibuat oleh al-Iraqi terhadap kitab Ihya 
al-Ghazzali. Begitu juga dengan takhrij terhadap kitab Tafsir Kasyaf. 
Contoh lain ialah takhrij hadis Tirmizi.
Salah satu keistimewaan Jami al-Tirmizi ialah apabila Imam 
al-Tirmizi selesai mengemukakan sesebuah hadis seperti hadis daripada 
Abu Hurairah, di akhirnya beliau akan mengatakan seperti “dalam bab ini,
 ia juga diriwayatkan oleh Ali, Ibn Abbas, Ibn Masud, al-Zubair dan 
lain-lain tanpa mengemukakan sanadnya secara lengkap. Oleh itu ulama’ 
mengarang kitab-kitab lain secara khusus untuk menyebutkan kembali sanad
 yang tidak disebutkan oleh Imam al-Tirmizi.

22- SYARH AL-ATSAR

Kitab-kitab yang mengumpulkan atsar-atsar sahabat. Di dalam bab 
hukum-hakam pula kitab yang masyhur ialah Syarhu Ma’ani Athar oleh Imam 
al-Thahawi. Kitab ini telah disyarah oleh Amir Jamaah Tabligh, Maulana 
Muhammad Yusuf yang mengarang kitab Hayat al-Sahabat. Bagaimanapun, 
kitab syarah tersebut tidak dapat disiapkan kerana ajal lebih dahulu 
menjemputnya. Di antara kitab-kitab yang lebih lama pula ialah Musannaf 
Ibn Abi Syaibah yang mengandungi banyak atsar-atsar sahabat.
Faedah penyusunan kitab syarah atsar ialah memudahkan proses 
pentarjihan hadis. Contohnya tentang hadis jilatan anjing. Ada yang 
berpendapat wajib membasuh sebanyak tujuh kali, salah satu dengan tanah.
 Ada yang mengatakan tiga kali dan ada yang berpendapat sekali basuh 
sahaja.
Bagaimana mentarjihkan jika terdapat begitu banyak pandapat?
Antara caranya ialah dengan melihat pada atsar sahabat iaitu bagaimana kebanyakan sahabat mengamalkannya.

23- ASBAB WURUD AL-HADITH 

Penulisan kitab hadis tentang sebab-sebab hadis disabdakan. Antara 
ulama’ yang menulis kitab seperti ini ialah Taqiyudiin Ibn Daqiq 
al-‘Iid, Abi Yaala, Ibn Hamzah al-Husaini, dan sebagainya. Amatlah 
penting bagi kita untuk mengetahui latar belakang kenapa sesebuah hadis 
itu muncul supaya tidak berlaku salah faham dan tafsiran.

Contohnya:
1- Tentang hadis Nabi s.a.w. melarang makan di atas meja. Sekiranya 
kita tidak mengetahui sebab-sebabnya, pastinya kita juga di zaman 
sekarang ini tidak akan makan di atas meja. Tetapi baginda melarangnya 
pada masa itu ialah untuk menghapuskan budaya orang-orang bangsawan yang
 sombong kerana mereka menganggap meletak dan makan makanan di atas 
lantai itu adalah taraf orang miskin dan tidak layak bagi mereka.

2- Nabi s.a.w. mengatakan bahawa sesiapa yang melabuhkan kain 
melebihi buku lali akan masuk neraka atau Allah s.w.t. tidak memandang 
kepada mereka di akhirat nanti. Maksud sebenarnya ialah di zaman baginda
 s.a.w., melabuhkan kain adalah menunjukkan kemegahan dan menzahirkan 
sikap sombong. Oleh kerana di zaman sekarang, melabuhkan kain tidak lagi
 dikaitkan dengan kemegahan dan sifat sombong, maka pemakaian sedemikian
 tidak lagi dilarang.

3- Sesiapa yang berbekam maka batal puasanya. Bagi Imam Ahmad, beliau
hanya berpegang dengan zahir hadis tersebut sahaja iaitu memang batal 
puasanya, tetapi Imam al-Syafi`e mengatakan tidak kerana hadis tersebut 
ada latar belakangnya. Sebenarnya terbatalnya puasa tersebut merujuk 
kepada terhapusnya atau batalnya pahala orang yang berbekam tersebut 
kerana pada masa itu mereka yang membekam dan dibekam itu sedang 
mengumpat.

24- AL-TARTIB

Oleh kerana ada sesetengah kitab hadis yang ditulis tidak mengikut 
susunan atau bab yang tertentu, maka ada ulama lain yang menyusun 
kembali hadis-hadis tersebut mengikut bab-bab yang tertentu.
Tujuannya ialah supaya senang untuk membuat rujukan serta mencari 
hadis yang terdapat di dalamnya. Contohnya, seperti Musnad Imam Ahmad 
yang tidak tersusun mengikut bab-bab tertentu. Ini kerana kaedah 
penyusunan musnad adalah dibuat mengikut susunan nama sahabat yang 
meriwayatkan sesebuah hadis. Antara ulama yang menyusun kitab tartib 
ialah bapa kepada Hasan al-Banna, Abdul Rahman al-Banna yang menyusun 
Tartib Musnad Imam Ahmad mengikut tartib fiqh. Nama kitab tersebut ialah
 al-Fath al-Rabbani Fi Tartib Musnad Ahmad al-Syaibani. Tetapi kitab 
tersebut juga tidak sempat disiapkan kerana beliau meninggal dunia 
terlebih dahulu.
Contoh-contoh lainnya seperti Tartib kitab al-Umm, Tartib Musnad Ahmad oleh Ibn Kathir dan lain-lain.

25- AT-TA'LIF 'ALA HURUF FIL MU'JAM 

Penulisan hadis berdasarkan kepada huruf yang pertama iaitu bermula 
dengan huruf alif, ba’ dan seterusnya. Contohnya, al-Jami al-Saghir 
karangan al-Suyuti, al-Maqasid al-Hasanah oleh al-Sakhawi, al-Maudhuat 
al-Kubra dan al-Maudhuat al-Sughra oleh Mulla Ali al-Qari.

26- AL-MAUDHU'AT 

Kumpulan hadis-hadis maudu’ iaitu menghimpunkan hadis-hadis palsu. 
Antara ulama yang menyusun hadis-hadis palsu dan mendedahkan 
kedudukannya termasuklah Ibn al-Jauzi, al-Suyuti, al-Syaukani, Muhammad 
bin Tahir al-Fattani dan lain-lain. Sementara kitab yang menyebutkan 
perawi-perawi yang melakukan pendustaan dan perawi yang dhaif ialah 
al-Kamil oleh Ibn Adi, al-Dhuafa wa al-Matrukin, Mizan al-Itidal oleh 
al-Zahabi, Lisan al-Mizan oleh Ibn Hajar dan lain-lain lagi.

27- AL-MA'THURAT 

Kitab tentang doa-doa yang mathur iaitu doa yang terdapat di dalam 
hadis-hadis Rasulullah s.a.w. seperti al-Azkar karangan Imam al-Nawawi, 
Amal al-Yaum wa al-Lailah oleh al-Munziri dan sebagainya.

28- AL-NASIKH WA AL-MANSUKH

Mengumpulkan hadis yang nasikh dan mansukh. Contoh tentang solat 
dengan memakai selipar yang sudah mansukh, Rasulullah s.a.w. sembahyang 
lepas asar dan subuh (mansukh), mut’ah (mansukh), angkat tangan lepas 
bangun dari sujud yang pertama (sudah mansukh) tetapi tetap dilakukan 
oleh Syiah. Antara ulama yang menulis tentangnya seperti Qasim bin 
Asbagh, al-Nuhhas, Abu Ubaid, Ibn al-Anbari, al-Hazimi, Ibn al-Jauzi 
dan Ibn Shahin. Orang pertama yang menulis kitab tentang hadis-hadis 
mansukh ialah Muhammad bin Syihab al-Zuhri.

29- MUTASYABIH / MUSYKIL HADIS 

Penulisan ini mengumpulkan hadis-hadis yang sukar untuk difahami 
sebagaimana terdapat di dalam al-Quran beberapa ayat yang samar-samar. 
Contohnya, hadis neraka tidak akan penuh selagi Allah tidak letakkan 
tapak kaki-Nya sehinggalah neraka berkata, cukuplah, cukuplah. Antara 
kitab yang baik iaitu Musykil al-Hadith wa Bayanuhu hadis karangan Ibn 
Furak dan Takwil Muktalif al-Hadith karangan Ibn Qutaibah.
Jawapan bagi kemusykilan di atas ialah perkataan “qadam” dalam hadis 
tersebut adalah mutasyabih. “Qadam” itu tak semestinya bermakna tapak 
kaki akan tetapi ia bermakna keputusan atau taqdir Allah s.w.t. kepada 
hamba-hamba-Nya.

(Saringan dan adaptasi dari “Muqaddimah Lami al-Darari Ala Jami` 
al-Bukhari” karangan Maulana Muhammad Zakaria al-Kandahlawi oleh Ust 
Muhammad Hanief Awang Yahya dan Hakim-eze)

NOTA KAKI:

(a) Nawasib atau nasibi (golongan Syiah memanggil Ahli Sunnah Wal 
Jamaah dengan nama nasibi di dalam kitab-kitab muktabar mereka). Nasibi 
sebenarnya golongan-golongan yang berlebih-lebihan terhadap Muawiyah. 
Imam al-Nasai’e dibunuh kerana menulis kitab berkenaan manaqib ahlul 
bait kerana pada masa tersebut terlalu kuat pengaruh Nawasib.

(b) Kata Imam Ahmad “al-hadisu daif aqwal min ra’yu”. Maksudnya hadis 
dhaif itu lebih baik dari pendapat akal. Kenapa hadis itu dhaif lebih 
baik dari ra’yu?
Jawab: Ini kerana, hadis dhaif itu walaupun ianya dhaif tetapi ianya 
adalah kata-kata yang berkemungkinan datangnya dari nabi s.a.w yang 
ma’sum. Sebenarnya hadis itu dhaif disebabkan kecacatan pada sanadnya 
atau perawinya. Akan tetapi ra’yu pula berada dalam keterbukaan yang 
luas untuk berlakunya kesalahan, kerana akal manusia itu amatlah 
terbatas.

(c) Ingatlah Imam al-Bukhari sendiri kencing berdarah dalam mengkaji 
hadis. Imam Muslim pula meninggal dunia disebabkan tidak cukup makan, 
mati dalam lautan ilmu.

(d) Di dalam masalah bacaan makmun di belakang imam, Abu Hanifah dan 
pengikut-pengikutnya berpendapat bacaan imam itu sudah menjadi bacaan 
mereka.

(e) Perawi-perawi yang melakukan Tadlis iaitu mereka yang menyembunyikan nama-nama guru mereka di dalam periwayatan hadis.

(f) Irja’, fahaman yang mengatakan keimanan tidak akan terjejas kerana maksiat dilakukan.

(g) Membuang sanad daripada matan dengan mengekalkan perawi teratas atau tidak.


Post a Comment

0 Comments

"; var FstickyWork = stickyWork.replace(/(\r\n|\n|\r)/gm," "); if ( FstickyWork === "yes" ) { $(document).ready(function(){$("#header-navigation").sticky({topSpacing:0});}); } //]]>