HUKUM : MENULIS AYAT AL-QURAN DENGAN TULISAN RUMI

MENULIS AYAT AL-QURAN DENGAN TULISAN RUMI 

Soalan;
saya ada satu soalan, tadi sy terjumpa di facebook. seorang hamba Allah ini screen shot status ssorang hamba Allah yang lain yang menulis ayat al-quran dalam rumi.
mcm ni gambar yang saya bagi. Hamba Allah tersebut mengatakan bahawa haram membaca ayat al-quran selain dari bahasa arab. adakah benar? dan bagaimana pula sekiranya seseorang itu baru hendak mengenal dan membaca al-quran rumi? adakah ianya berdosa? kerana saya pernah tanya seseorang, dia cakap tak apa. tapi jangan terlalu bergantung sangat dengan al-quran rumi.

Jawapan;
Bismillah. Para ulamak telah memfatwakan haram menulis al-Quran dengan tulisan selain Arab (seperti tulisan rumi dan sebagainya) kerana ia boleh merubah bunyi al-Quran, sekaligus merubah maknanya. Sebagai contoh dalam surah al-Ikhlas bertulisan rumi di atas; apabila kalimah "الله الصمد" (bermaksud; Allah tempat bergantung") dituturkan dengan "Allahus-Samad" kerana mengikut bacaannya dalam rumi, maknanya menjadi "Allah adalah yang berterusan" atau "Allah adalah baja". Perhatikan perbezaan makna yang terlalu menyimpang. Keadaan yang serupa akan berlaku kepada banyak kalimah lagi di dalam al-Quran jika dibenarkan penulisannya dengan rumi, kemudian dibaca oleh orang yang tidak mengetahui bahara Arab. 

Imam Ibnu Hajar menegaskan dalam Fatwanya; "Para ulamak telah ijmak melarang menulis al-Quran mengikut lafaz hijaiyyah (yakni tidak mengikut resam uthmani), maka lebih-lebih lagilah dilarang menulis al-Quran dengan bahasa 'ajam (yakni bahasa bukan Arab), di sampingi penulisan al-Quran dengan bahasa bukan Arab itu akan menyebabkan berlaku perubahan pada lafaz al-Quran yang bersifat mukjizat...." (al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/38).

Syeikh az-Zurqani dalam kitabnya Manahil al-'Irfan menjelaskan; "Para ulamak kita telah melarang penulisan al-Quran dengan huruf bukan 'Arab...Lujnah Fatwa al-Azhar bila ditanya tentang penulisan al-Quran dengan huruf-huruf Latin, maka jawapan yang diberikan; 'Tidak diragui bahawa huruf-huruf Latin yang sedia diketahui (hari ini) tidak memiliki beberapa huruf yang menepati bahasa Arab, maka ia tidak dapat memenuhi dengan sempurna fungsi huruf-huruf bahasa Arab. Maka jika ditulis al-Quran dengan huruf-huruf Latin itu akan berlaku kekurangan/kecacatan dan perubahan pada lafaznya, dan ekoran darinya akan berlaku perubahan makna dan merosakkan maknanya...Telah ijmak para ulamak sekelian bahawa sebarang tindakan terhadap al-Quran yang yang membawa kepada pemindaan kepada lafaznya atau merubah maknanya, ia dilarang sama sekali dan haram secara putus...." (Manahil al-'Irfan, 2/134).
Wallahu a'lam.
by USTAZ ADNAN

Post a Comment

0 Comments

"; var FstickyWork = stickyWork.replace(/(\r\n|\n|\r)/gm," "); if ( FstickyWork === "yes" ) { $(document).ready(function(){$("#header-navigation").sticky({topSpacing:0});}); } //]]>