Berkata Dr Fathi:
Hakikat Solat Tarawih:
Satu perkara penting yang perlu diketahui, solat Tarawih yang diamalkan seluruh kaum muslimin hari ini pada hakikatya itulah solat qiam al-lail, ia adalah solat qiam al-lail biasa cuma ia dilakukan dalam bulan Ramadhan.
Nabi SAW, para Sahabat Baginda SAW serta para Salaf tidak pernah memberikan nama solat Tarawih untuk solat-solat qiam dalam bulan Ramadhan, nama solat Tarawih bukanlah satu nama yang disyariatkan, berbeza dengan nama-nama solat seperti Subuh atau Fajr, Maghrib, `Asar, Zuhur, dan semisal yang mana nama-nama itu adalah disyariatkan.
Sebaliknya penamaan Tarawih adalah satu nama baru yang dicipta oleh para fuqaha' Khalaf untuk solat qiam al-lail yang dilakukan dalam bulan Ramadhan, tujuan mereka mencipta nama ini pada asalnya adalah untuk memudahkan kaum muslimin serta menggalakkan mereka berqiam dalam bulan Ramadhan, tidak lebih dari itu.
Hal ini adalah sama untuk nama-nama solat sunnah lain yang namanya tidak disyariatkan, seperti solat tahiyatul masjid, solat sunat wudhu' dan semisal, yang mana nama-nama khas untuk solat ini bukanlah satu nama yang disyariatkan, sebaliknya diberikan oleh para fuqaha' Khalaf bertujuan memudahkan kaum muslimin melakukan solat-solat sunnah ini.
Penamaan ini semua tidak bid'ah, kerana ia termasuk dalam rangka sarana memudahkan kepada ibadat yang sememangnya disyariatkan, sesetengah ulama menyebutnya sebagai masolih mursalah. Namun, dengan beredarnya zaman kepada zaman kita, munculnya ramai para pendakwah yang jahil, mereka telah menjadikan nama solat Tarawih ini sebagai satu solat khas yang berdiri dengan sendirinya, seterusnya mengelirukan orang awam yang juga jahil.
Kekeliruan itu menjadi semakin runcing hingga tujuan asal maslahat yang dibuat oleh fuqaha' Khalaf itu hilang dan akhirnya bertukar menjadi mafsadah. Antara mafsadah yang timbul akibat kekeliruan ini antaranya ialah:
1- Mereka berlumba-lumba bersolat Tarawih ketika Ramadhan, tetapi tidak bersolat qiam ketika selain Ramadhan. Walhal ia adalah solat yang sama saja.
2- Sebahagian mereka menganggap ia adalah wajib, melebihi solat `Isya'. Sehingga ramai yang tidak berjamaah `Isya' di masjid, tetapi hanya datang ke masjid untuk bersolat Tarawih!
3- Umat berbalah dalam bilangan raka`at Tarawih, saban tahun muncul kelompok 8 dan kelompok 20 berbalah, padahal solat qiam malam itu dua raka'at dua raka'at tanpa batasnya.
4- Umat berselisih pada kayfiyyat (tatacara) solat Tarawih, sehingga mereka mencipta bid`ah dalam kayfiyyatnya. Ada yang mencipta zikir-zikir khusus antara solat itu yang mana ia jelas bid'ah dan jauh dari petunjuk hidayah Nabi SAW.
5- Umat melihat solat qiam malam habis apabila Ramadhan habis, lantas masjid menjadi kosong kerana fahaman 'Tarawih hanya ada di bulan Ramadhan'. Dan pelbagai lagi mafsadah yang timbul disebabkan kekeliruan ini, kerana itu Imam al-Syaukani berkata: "Membatasi solat ini dengan nama “Solat Tarawih” dengan jumlah raka'at yang tertentu dan mengkhususkannya dengan bacaan-bacaan tertentu tidak pernah ditunjuki oleh sunnah"
[Rujuk: Nail al-Authar min Asrar Muntaqa al-Akhbar, 2/269]
[Rujuk: Nail al-Authar min Asrar Muntaqa al-Akhbar, 2/269]
(Sifat puasa,qiam, i'tikaf dan raya nabi.m/s 24-25)
0 Comments