ISU : PERGADUHAN LOW YAT, BUKTI KITA PERLU KEPADA UNDANG-UNDANG ISLAM. FAHAMI SENARIO DAN FAHAMI UNDANG-UNDANG ISLAM.Oleh: Zaharudin Muhammad.


PERGADUHAN LOW YAT: BUKTI KITA PERLU KEPADA UNDANG-UNDANG ISLAM. FAHAMI SENARIO DAN FAHAMI UNDANG-UNDANG ISLAM.

Oleh: Zaharudin Muhammad.

Apabila saya membaca berita pergaduhan di Plaza Low Yat, saya teringat dua kes yang saya dan seorang kenalan saya alami. Dalam kes saya sekitar enam tujuh tahun lepas, saya pernah membeli housing handphone atau tab yang harga pasaran bagi original RM200. Kalau yang AP harganya sekitar RM120. Tiba-tiba satu kedai menawarkan yang original hanya dengan harga RM180. Oleh kerana murah RM20 berbanding kedai lain, saya terus beli. Sewaktu keluar, saya jumpa dengan seorang kenalan yang agak mahir berkenaan perkakasan handhpone. Dia bagitahu yang saya beli bukan original, tapi AP. Dia tunjukkan tanda-tanda AP dan saya pergi ke kedai lain untuk mengenal pasti tanda-tanda original dan AP.
Selepas dapat informasi tentang tanda-tanda original dan AP, saya patah balik ke kedai asal untuk protes penipuan dia. Saya tak kisah yang RM60, tetapi saya geram sebab kena tipu. Masa saya pergi balik jumpa penjual yang juga tauke kedai, dia berkeras menyatakan yang dia bagi itu memang AP dan dia dah cakap dari awal. Saya kata, kalau yang AP kenapa harga sampai RM180, sepatutnya RM120. Dia cakap, itu awak punya pasal lah, sebab awak dah setuju. Padahal tadi dia kata confirm original dan saya pastikan dua tiga kali masa saya nak beli.
Selepas agak kecoh, tauke kedai tu akhirnya panggil guard untuk hindarkan saya dari kedai. Memang samseng betul tauke tu. Kalau ikutkan hati, tengok dia tipu kita dan berlagak samseng dengan halau kita dari kedai dia dengan suara tinggi, rasa mahu pecahkan saja kedai tu atau bertumbuk sahaja dengan tuannya. Tapi ingat nanti jadi kes gaduh, tak mustahil kita pula yang salah dituduh menyerang dalam keadaan saksi sekeliling mungkin kawan-kawan dia. Pelanggan kedai lain rasanya mustahil nak tampil jadi saksi bagi pihak kita. Kawan yang saya jumpa tadi pun dah entah ke mana.
Bila fikir panjang; kalau bertumbuk, polis akan datang, semua kena pergi balai bagi keterangan. Kalau saya bagi keterangan bahawa saya kena tipu, nanti polis kata: ‘encik jangan bertindak sendiri, buat report dulu, serahkan kepada polis, ini kerja polis dan bla bla bla....” Macam biasalah, semua kena serah ke polis menurut pemikiran idealnya. Kalau buat report polis, kena tipu RM60 (RM180-RM120) agak-agak polis nak layan tak? Jangan bohong lah, kawan saya kena tipu RM120,000 polis tak layan, setakat ambik report sahaja. Inikan RM60. Jadi, bila fikirkan undang-undang mahupun suasana tidak menyebelahi saya, pendam sahajalah perasaan geram tu.
Lagi satu kes ialah melibatkan seorang kenalan saya, warga Saudi tinggal di Malaysia. Beliau telah membeli ladtop dari satu kedai di satu Plaza di kawasan Gombak. Kes yang sama, tuan kedai tipu spesifikasi ladtop tersebut. Beliau hanya menyedari bahawa beliau ditipu selepas pulang ke kondo miliknya. Keesokan hari beliau kembali ke kedai tersebut dan protes atas penipuan spesifikasi tersebut dan penjual menafikannya. Sebagaimana culture orang arab, mereka payah mengalah dan akhirnya berlaku pergaduhan. Dalam pergaduhan itu, beliau telah diwar-warkan oleh penjual bahawa pergaduhan itu sebab pak arab tu mencuri di kedai dia. Kenalan Arab ini pula langsung tidak boleh bertutur melayu dan hanya English yang sangat broken (lemah). Oleh kerana masalah komunikasi tersebut, dia tidak mampu menerangkan kepada orang ramai apa isu sebenar. Akibatnya, beliau dipukul teruk sehingga lari lintang pukang selamatkan diri. Beliau dipukul dari kedai di tingkat 1 sehingga ke pintu keluar mall. Sehingga akhirpun, beliau tidak mendapat apa-apa pembelaan melainkan lapor di kedutaan dan buat laporan polis. Tapi ladtopnya yang dah pecah dan wangnya langsung tiada pembelaan.
Kes di Low Yat dua hari lepas mengingatkan saya tentang 2 kes di atas. Sama ada pergaduhan dua hari lepas adalah disebabkan oleh pelanggan mencuri sebagai dakwaan sesetengah media atau sememangnya dia adalah mangsa tipu atau dia adalah mangsa tipu tetapi difitnah oleh tuan kedai bahawa beliau mencuri, itu hanya Allah yang tahu dan bukan isu yang saya nak timbulkan dalam tulisan ini. Apapun realiti, saya yakin polis tidak akan mengumumkan apa sebab sebenar dengan alasan nak elakkan sentimen dan sebagainya.
Berbalik kepada poin asal, kenapa kes ini timbul dan bagaimana Islam selesaikan?
Kes seperti ini timbul, sebagaimana pengalaman saya sendiri, disebabkan kita sebagai mangsa tipu tiada tempat untuk mengadu. Nak pergi mengadu di balai polis, confirm polis hanya terima laporan dan tiada tindakan dibuat, kecuali kalau polis tu abang kita, sepupu kita atau ayah kita. Kawan saya yang kena tipu RM120,000 pun tak ada apa-apa tindakan polis sekalipun laporan dah dibuat. Jadi, abaikan sahaja laporan polis.
Ada seorang sahabat sarankan supaya saya pergi buat aduan online ke E-Aduan Kementerian Perdagangan dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) atau Biro Pengaduan Awam (BPA). Ada juga sarankan supaya pergi adu kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan macam-macamlah idea-idea khayal yang tidak realistik. Tidak realistik kerana kita hanya nak tuntut RM60, tapi nak kena turun naik dan ke hulu ke hilir selepas itu, confirm tak berbaloi dengan RM60 yang kita protes.
Dengan kata lain, antara pilihan yang anda ada:
1. sama ada anda jadi samseng dan bertumbuk dengan tuan kedai,
2. atau anda perlu ambil cuti untuk turun naik pejabat-pejabat yang dinyatakan justeru kejadian ini pada waktu petang selepas waktu pejabat. Pasti selepas itu anda dinasihatkan oleh pegawai aduan awam untuk buat report polis untuk tindakan selanjutnya. Satu hal pulak anda kena bergegas ke balai polis untuk melihat pegawai polis taip dengan 1 jari untuk report anda,
3. atau lupakan sahaja dan banyakkan bersabar serta ingat akan dapat balik pada hari akhirat.
Saya telah ambil pilihan ke 3 justeru saya bukan jenis samseng untuk buat pilihan pertama dan saya tiada masa yang banyak untuk habiskan waktu-waktu saya turun ke hulu ke hilir untuk RM60.
Apa penyelesaian dari segi Islam? Anda biasa dengar Hudud, Qisas dan Takzir, tetapi anda mungkin jarang dengar apa itu Hisbah. Kes penipuan kecil ini bukan kategori Hudud, bukan Qisas dan bukan Takzir. Kes seperti ini dikenali sebagai kes Hisbah, iaitu undang-undang dan peraturan yang melibatkan jumlah wang yang kecil (biasanya di bawah nisab mencuri) dan juga penipuan di pasar-pasar.
Pegawai yang bertugas dikenali sebagai Muhtasib dan orang yang pertama yang bertugas sebagai Muhtasib adalah nabi saw sendiri sewaktu permulaan pentadbiran di Madinah. Nabi saw ronda pasar Madinah, melihat penjual kurma yang letakkan kurma yang elok di atas dan yang buruk di bawah. Nabi bukan sahaja menegur bahkan menegah transaksi seperti ini berlaku di pasar. Di zaman selepas itu, pegawai-pegawai Muhtasib di letakkan di pasar-pasar atau lokasi-lokasi perniagaan bagi memantau supaya tiada berlaku penipuan dan supaya mangsa-mangsa tipu mendapat balik hak mereka serta mendapat pembelaan.
Dalam konteks Malaysia, jika kita sebuah negara Islam dan kerajaan Islam, sememangnya menjadi tanggungjawab wajib sebagaimana wajibnya mereka melaksanakan Hudud, Qisas dan Takzir. Dalam konteks perlaksanaan moden, pejabat Hisbah ini sepatutnya wujud di semua lokasi perniagaan seperti di Bukit Bintang atau di premis-premis perniagaan besar seperti Low Yat jika dirasakan perlu. Gambaran jawatankuasa Hisbah ini sama seperti pegawai-pegawai penguatkuasa DBKL yang kita sentiasa terserempak di kawasan-kawasan KL. Cuma hari ini kerajaan pasang pegawai-pegawai penguatkuasa untuk pastikan rakyat bayar duit kerajaan; peniaga bayar cukai dan lessen, pelanggan bayar parking dan lain hak kerajaan ke atas rakyat, tetapi bukan untuk membela rakyat awam dan mangsa. Undang-undang hari ini kebanyakan lebih untuk membela dan melindungi syarikat-syarikat besar sahaja tetapi golongan marhain terus dan terus tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Kalau saya dan PAS diizinkan Allah dapat memerintah Malaysia, penubuhan pejabat-pejabat Hisbah di semua lokasi perniagaan utama adalah menjadi kewajipan kepada kami. Membela mangsa di dalam Islam bukan sahaja dalam kes-kes besar seperti kes pembunuhan, kes rompakan dan sebagainya, tetepi Islam membela dan memantau sehingga sekecil-kecil kes sehingga penipuan sepuluh dua puluh ringgit juga dibela dengan jawatankuasa Hisbah.
Hisbah ini berbeza dengan Hudud, Qisas dan Takzir terutamanya dari segi pembuktian dan cara keputusan dibuat. Hisbah bersifat segera yang straight forward berbanding dengan kes-kes besar yang memerlukan kepada perbicaraan detail dan sebagainya.
Dalam kes saya kena tipu di Low Yat sebagai contoh, jika ada Muhtasib di sekitar Bukit bintang atau dibanggunan Low Yat itu sendiri, saya boleh pergi mengadu dan tunjukkan resit dan barang. Pihak Muhtasib pula dengan jelas dapat melihat barang AP dijual dengan harga RM180, harga yang jauh lebih tinggi daripada harga pasaran yang dikenali sebagai Ghubnun Faahish. Oleh kerana kerja Hisbah ini adalah pelengkap kepada hukum muamalat Islam, maka Ghubnun Faahish (markup harga melampau) secara tidak jujur (tadlis dan taghrir) dianggap fasakh. Ini bermakna, pegawai Muhtasib berkuasa memutuskan terus keputusan bersalah atau tidak berdasarkan resit dan harga pasaran sekalipun tanpa 2 orang saksi dan perbicaraan sebagaimana kes-kes besar.
Sememangnya terdapat perbahasan di dalam Fiqh Islam, adakah pegawai Hisbah ini berkuasa mengarahkan pekedai yang menipu supaya tutup kedai dan premis perniagaan sebagai hukuman tambahan. Tetapi khilaf ini pada saya bukan khilaf hukum tetapi khilaf darisegi realiti perlaksanaan dan keperluan. Dalam konteks sekarang, jika dirasakan perlu justeru penipuan yang banyak, maka mungkin pegawai Muhtasib mempunyai kuasa untuk menutup sementara kedai yang terlibat dengan penipuan. Jika sudah berkurangan selepas itu, mungkin dikurangkan kuasa Muhtasib. Apapun ia melihat kepada keperluan dan ini konteks yang disebutkan ‘tindakan pemimpin adalah bergantung kepada maslahah’.
Saya yakin, jika undang-undang dan penguatkuasaan Hisbah ini berlaku, nescaya kes rusuhan di low yat tidak akan berlaku apabila semua mangsa tipu mendapat pembelaan sewajarnya.
Ringkasnya, undang-undang Islam yang dikenali sebagai Hisbah ini adalah pelengkap kepada undang-undang Hudud, Qisas dan Takzir. Hisbah tidak akan berjaya tanpa Hudud, Qisas dan Takzir justeru pucuk tidak akan datang melainkan mesti daripada akar dan batang yang kuat. Dengan kata lain, Hudud dan Qisas seumpama akar dan batang kepada perundangan Islam, manakala Takzir pula seumpama dahan dan ranting. Kesuburan ini dilengkapi dengan Hisbah yang seumpama pucuk dan bunga kepada pokok tersebut. Maka buahnya ialah keamanaan, keselamatan dan pembelaan kepada semua pihak. Ini negara yang kita impikan yang saya sentiasa sebut ‘ke arah rakyat Malaysia yang lebih bebas’.
Selepas memahami realiti ini, orang yang menyatakan “PAS sepatutnya tumpu kepada pemerkasaan ekonomi negara terlebih dahulu, kemudian baru bercakap tentang undang-undang Islam” sebenarnya mereka berfikir terbalik seumpama berpesan jangan makan ubat melainkan selepas sembuh.
“Kearah Rakyat Malaysia Yang lebih Bebas”
Sekian.
Nota: di kesempatan ini saya menyeru supaya tidak timbul rasis dan perkauman.
Share dan Like ke arah Rakyat Malaysia Yang Lebih Bebas:
https://www.facebook.com/pages/Zaharudin-Muhammad/312456128784829?ref=hl


Post a Comment

0 Comments

"; var FstickyWork = stickyWork.replace(/(\r\n|\n|\r)/gm," "); if ( FstickyWork === "yes" ) { $(document).ready(function(){$("#header-navigation").sticky({topSpacing:0});}); } //]]>